KOTA KINABALU: Kadar bayaran elaun Ketua Kampung (KK) di Semenanjung dan Sabah adalah berbeza disebabkan KK di Semenanjung memegang dua jawatan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, elaun KK di Semenanjung ialah sebanyak RM800 sebulan manakala KK di Sabah menerima RM650 sebulan kerana KK di Semenanjung juga menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

“Dengan lain perkataan, di Semenanjung satu orang memegang atau menjawat dua jawatan iaitu KK dan Pengerusi JKKK. Manakala bagi Sabah jawatan KK dan Pengerusi JKKK dipegang oleh orang yang berlainan.

“Oleh itu, kerajaan negeri telah menetapkan bahawa kadar elaun KK di Sabah ialah sebanyak RM650 sebulan berkuatkuasa 1 Januari lalu,” katanya pada sesi soal jawab, persidangan dewan undangan negeri di Dewan Undangan Negeri di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulabayan Datuk Haji Harman Haji Mohyammad yang bertanya berapakah jumlah perbelanjaan yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk membayar elaun KK berikutan kenaikan elaun mereka baru-baru ini.

Hajiji berkata, jumlah perbelanjaan yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk membayar elaun KK ialah sebanyak RM24.70 juta setahun berbanding dengan kadar lama sebanyak RM17.12 juta.

“Daripada jumlah itu kerajaan negeri menanggung sebanyak RM4.40 juta setahun manakala kerajaan persekutuan sebanyak RM20.30 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata, sejak Kerajaan Barisan Nasional memerintah negeri Sabah, elaun ketua kampung telah dinaikkan sebanyak tiga kali iaitu yang pertama pada Julai 1996 daripada RM150 kepada RM210 sebulan, kali kedua pada 1 Mac 2006 daripada RM210 kepada RM450 sebulan dan kali ketiga pada Januari tahun ini daripada RM450 kepada RM650 sebulan.

Sementara itu ketika menjawab soalan tambahan Herman, yang bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk menaikkan elaun pemimpin masyarakat akar umbi iaitu Ketua Daerah (KD), Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dan Ketua Masyarakat Cina, Hajiji berkata: “setakat ini, kerajaan belum mempunyai cadangan untuk menaikkan elaun KD, KAN dan WKAN kerana elaun ketiga-tiga kategori itu telah dinaikkan baru-baru ini”.

“Bagaimanapun kementerian mempunyai cadangan untuk menaikkan elaun seramai 150 Ketua Masyarakat Cina. Perkara ini akan kita kaji dan bawa kepada pengetahuan kerajaan,” katanya.

via New Sabah Times.

Advertisements