Ditulis oleh: SINGKUI TINGGI

Mantan Ketua Kampung Tambatuon Kota Belud En. Singkui Bin Tinggi pada tarikh 26.09.2011, telah membuat ulasan mengenai kenyataan Datuk Herbert Timbun Lagadan di dalam Daily Express pada 14.07.2011 mengenai pembinaan empangan di Kg. Tambatuon yang mampu menjana RM500,000.00 setahun kepada penduduk kampung tersebut. Ulasan yang kedua ialah diberi peluang melawat ke penempatan empangan di Kedah.

Pada tarikh 11.09.2011, jam 2.00 petang kami telah mengadakan mesyuarat tergempar di Mini Dewan Kg. Tambatuon dan kira-kira 140 orang perwakilan termasuk Badan Bertindak Pengurus Jehim Singkui, WKN Sayhui Sumbin, KK Yamin Goling, PJKK Sindih Giong turut hadir bagi menyuarakan pendapat masing-masing.

Keputusan kedua-dua cadangan Kerajaan yang memberi wang dana empangan sebanyak RM500,000.00 setahun dan melawat ke kedah, adalah sebulat suara masyarakat Kg. Tambatuon tidak menerima dan menolak sama sekali cadangan Kerajaan tersebut. Ini kerana apabila Badan Bertindak menilai dan membahagi wang dana tersebut kepada 898 orang dan setiap seorang hanya mendapat RM42.00 sebulan.

Adakah wang yang sedikit ini (RM42.00) dapat menampung keperluan hidup sekeluarga selama sebulan, sedangkan pendapatan masyarakat kampung pada masa ini tidak kurang di bawah RM5,000.00 atau ada yang dibawah RM10,000.00 sebulan daripada hasil getah dan padi sawah serta bukit. Tanah pekebun getah semuanya dibawah 10 ekar dan kebanyakkannya lebih dari 20 ekar, 15 ekar dan lain-lain buah-buahan serta tanaman sayur-sayuran, dan sampai sekarang semuanya rancak bergerak menambah keluasan tanaman getah serta lain-lain usahawan.

Kedua-dua cadangan Kerajaan seperti tawaran meletak penempatan empangan Kedah, kami sangat meminta maaf kepada Kerajaan terutama kepada Datuk Herbert Timbun Lagadan ADUN N.7 Kadamaian dan YB Datuk Rahman Bin Hj. Dahlan, Wakil Parlimen Kota Belud. Ini kerana kami tidak mahu tawar menawar atau seperti menjual dan membeli kampung kami. Semua tawaran Kerajaan secara langsung tidak boleh diterima.

Saya menegaskan kepada kedua-dua Wakil ADUN dan Wakil Parlimen, pada pilihanraya yang lalu, Kami memberi kemenangan mereka supaya dengan tujuan agar mereka memajukan Ekonomi kami dan bukannya mengancam kami atau menyusahkan kami dan mahu kami meninggalkan kampung kami serta harta kami sekaligus menghapuskan Kampung Tambatuon. Kami adalah Manusia biasa dan kami juga orang tempatan, orang asli tulin dan rakyat Malaysia yang perlu dihormati dan dipelihara oleh Kerajaan seperti kemajuan kampung lain.

Kami mohon YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Hj. Aman agar memberi pertolongan serta membatalkan rancangan pembinaan empangan tersebut, dan juga YB Datuk Herbert Timbun Lagadan ADUN N.7 Kadamaian agar berfikir semula dan berpihak kepada kami.

Badan Bertindak seramai 10 orang telahpun menghantar surat memorandum kepada Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Joseph Pairin Kitingan agar menjawab surat pembatalan pembinaan empangan tersebut sehingga masyarakat Kampung Tambatuon bebas daripada delima pembinaan empangan tersebut.

Sekian, terima kasih.

SINGKUI TINGGI

via Ketua Kampung dipecat kerana isu empangan.

Advertisements