Di Negara ini, kita masih mempunyai penduduk yang tandus ilmu geografi. Contohnya, ramai yang tidak mengetahui bahawa ancaman tsunami akibat aktiviti seismologi hampir tiada di pantai barat daya Semenanjung, pantai timur Semenanjung, malah pantai Sarawak oleh kerana perairan yang cetek.

Contoh lain ialah seperti kepanikan yang terjadi ketika jerebu di bulan Oktober lalu akibat corak angin semalaman yang bersifat sementara pada saat konsistensi angin bulan tersebut adalah dari barat laut.Ini kerana mereka tidak mengetahui bahawa wilayah Riau di Indonesia yang sedang mengalami kebakaran tanah gambut terletak di barat daya Semenanjung.

Jika itu juga merupakan sesuatu yang berat untuk difahami, cuba pilih 10 orang yang berada di kalangan kita, bawa ke kawasan lapang dan tanya di mana kedudukan negara China contohnya. Lihat saja jawapan mereka. Hakikatnya geografi bukan sekadar itu.

Geografi meliputi air, udara, tanah, lapisan bumi, seismologi, vulkanologi, corak penempatan, malah zon masa. Kaitannya dengan sejarah adalah pada sejarah latar belakang kejadian geologi, arkeologi serta pembentukan demografi penduduk hari ini. Semua ini adalah faktor kunci yang perlu ada bagi pembangunan modal insan sesebuah negara maju di masa depan.

Buta geografi hakikatnya merugikan negara. Contohnya, cadangan membina pancuran air di garis pantai bagi mengatasi jerebu seperti yang pernah dicadangkan ketika jerebu teruk tahun 1997.

Hakikatnya konsistensi angin yang membawa partikel terampai tidak memungkinkan apa-apa jaminan cadangan itu akan memberikan hasil kejayaan. Bayangkan kerugian yang tertanggung sekiranya idea ini digunapakai.

Dipetik dari: Kepentingan Geografi Tidak Harus Diabaikan.

Advertisements