KOTA KINABALU: Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) kecewa dengan tindakan kerajaan Malaysia yang dianggapnya tidak menghormati hak-hak Orang Asal (OA) negara ini selepas ia menolak syor-syor yang dikemukakan di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

“Ini menunjukkan yang kerajaan tidak ikhlas dan tidak menghormati hak-hak OA Malaysia. Kami kecewa dan kami tidak akan menghormati kerajaan yang tidak menghormati kami,” kata JOAS dalam sidang akhbar di sini, pada Rabu.

Kata JOAS, mereka menolak penjelasan kerajaan Malaysia kenapa ia tidak menerima enam syor berkaitan hak-hak Orang Asal, ketika kitaran kedua Penilaian Penggalan Sejagat (UPR) dibentang di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

JOAS daripada 83 ahli organisasi masyarakat, lima calon ahli dan lima ahli gabungan NGO menyatakan rasa amat terkejut dengan maklum balas Malaysia itu.

Dalam kitaran UPR ini, JOAS sudah bertungkus-lumus berbincang dengan pihak Kementerian Luar Negeri di Kuala Lumpur dan di Geneva supaya menerima syor-syor berkaitan hak Orang Asal dan mendapat respon positif daripada mereka.

Enam syor itu ialah:

* Kebenaran lawatan ke Malaysia oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak-hak Orang Asal;

* Memastikan undang-undang berhubung Orang Asal dan pelaksanaannya mematuhi Deklarasi PBB mengenai Hak-hak Orang Asal;

* Memastikan hak-hak Orang Asal dan orang tempatan yang bergantung kepada hutan terjamin dalam undang-undang, khususnya hak-hak berkenaan tanah, wilayah dan sumber-sumber tradisi/adat.

* Cadangan menubuhkan Suruhanjaya Kebangsaan Orang Asal yang bebas dan memastikan undang-undang, dasar dan pelaksanaannya selari dengan Deklarasi PBB tentang Hak-hak Orang Asal;

* Menubuhkan sebuah badan bebas untuk menyiasat pertikaian terhadap tanah, wilayah dan sumber;

* Mengambil langkah-langkah menangani isu yang diketengahkan dalam Inkuiri Nasional mengenai Hak Tanah Orang Asli/Asal, dengan pembabitan berkesan dan sepenuhnya daripada Orang Asal.

Dalam laporan maklumbalasnya, kerajaan menyatakan Malaysia akan terus mengambil langkah melindungi dan menghormati hak-hak Orang Asal.

Ia juga berkata, ketika ini sebuah Pasukan Petugas terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan, wakil-wakil masyarakat sivil dan ahli akademik, dalam proses menentukan antara lain, butir-butir dalam syor-syor yang dikemukakan yang boleh dilaksanakan dalam jangkamasa pendek, sederhana dan panjang.

“Oleh sebab kerajaan tidak mahu membuat pranilaian mengenai hasil perbincangan Pasukan Petugas, Malaysia tidak dapat menerima syor-syor itu ketika ini,” kata jurucakap kerajaan.

Namun kata JOAS, jumlah wakil Orang Asal dalam Pasukan Petugas hanyalah 30 peratus dan berdasarkan laporan dari wakil-wakil itu, perbincangan isu-isu penting adalah sangat terhad dan tidak mampu menangani penafian berterusan daripada wakil-wakil kerajaan terhadap pencabulan hak-hak tanah OA secara sistematik, seperti yang diketengahkan dalam laporan Inkuiri Nasional Suhakam.

“Sebagai salah satu ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Malaysia tidak patut mengelak daripada tanggungjawab antarabangsa untuk melindungi hak-hak Orang Asal yang selari dengan prinsip perundangan antarabangsa dan juga keputusan makhamah-makhamah sivil negara kita.

“Berdasarkan Laporan Inkuiri Nasional dan keadaan Orang Asal di lapangan, undang-undang dan dasar semasa adalah jauh daripada memuaskan dan tidak mencapai piawai hak asasi manusia, terutamanya Deklarasi PBB tentang Hak-hak Orang Asal,” kata JOAS.

“Alasan oleh kerajaan Malaysia untuk menolak syor-syor di UPR kerana kewujudan pasukan petugas, tidak boleh diterima.”

Read more: HERE.

Advertisements