REBLOG: Sumber -http://ladymariah.wordpress.com/2012/06/06/dasar-dasar-kerajaan-yang-menjerat-hak-orang-asal-terhadap-tanah-adat/

Projek Mini Estate Sejahtera Mesej yang diilhamkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar merupakan satu strategi kerajaan membasmi kemiskinan tegar di Sabah. Rajibi Aman, mewakili kementerian merupakan Ketua Bahagian Pembasmian Kemiskinan dan juga Ketua Penolong Setiausaha Kanan telah menerangkan projek Mesej adalah projek yang paling baik di Malaysia, malah katanya lebih baik dari Felda.

Dia menerangkan setiap projek penanaman kelapa sawit atau getah berkenaan menelan kos sehingga berjuta ringgit melibatkan pembinaan kediaman peserta dan penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.

Ternyata, jika dilihat dari satu pihak sahaja maka projek ini adalah projek yang sangat bagus memandangkan rakyat Sabah yang miskin perlukan pembelaan dari segi penjanaan ekonomi.

Namun apabila kita berada di tempat peserta, bagaimanakah kita sebagai orang asal untuk meninggalkan kampung halaman kita dan membiarkan usaha keras kita selama ini diambil begitu saja dan dimusnahkan hanya kerana projek yang dipercayai akan membantu membasmi kemiskinan?Setakat beberapa projek yang dilakukan selama ini, tidak ada sebarang pampasan yang diberikan kepada peserta dan tanah mereka dibangunkan begitu sahaja mengikut apa yang mereka mahu dan peserta cuma ikut sahaja.

Mesej juga meletakkan syarat supaya peserta yang terlibat untuk bekerja di ladang yang dibangunkan, jika tidak mereka akan disingkir dari projek tersebut. Maka, kesudahannya mereka akan merempat tanpa tanah dan rumah.Terdapat beberapa orang asal yang telah membuat bantahan kepada projek Mesej ini kerana mereka telahpun ada perancangan sendiri untuk memajukan tanah dengan menanam tanaman komersial seperti kelapa sawit, getah, kelapa dan lain-lain.

Selain daripada itu, sebahagian daripada tanah-tanah tersebut telahpun bertanaman seperti tanaman kelapa, getah, kelapa sawit, pisang dan lain-lain yang bernilai komersial dan dapat menjamin kehidupan mereka. Maknanya, mereka tidak mahu usaha mereka sebelum ini dimusnahkan demi untuk satu lagi projek yang memerlukan masa yang lama untuk mengeluarkan hasil.

Ramai juga orang asal yang mengaku anak-anak mereka sudah ramai yang berpengetahuan dalam pengurusan tanah dan pembangunan, dan mereka mahu menguruskan tanah mereka sendiri. Menurut aduan dan luahan orang asal, pelaksanaan projek Mesej menambahkan kemiskinan mereka kerana tanah mereka dirampas sewenang-wenangnya dan mereka terpaksa menjadi hamba di tanah sendiri.

Menarik juga kes tanah adat di Sabah ni, dan apa yang aku lihat kebanyakan orang asal adalah mangsa kepada dasar-dasar kerajaan yang berpihak kepada satu entiti sahaja, manakala orang asal tidak mempunyai keistimewaan dalam pemilikan tanah.Seringkali orang asal dihina dengan kata-kata sindiran bahawa mereka tidak pandai menjaga tanah kerana menjual tanah mereka kepada orang luar, tapi apabila kita mendengar sendiri penjelasan mereka berkenaan kedudukan dan status tanah adat di tempat mereka, barulah kita faham kenapa keadaan sebegini menjadi rumit.

Kebanyakannya disebabkan oleh pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang berat sebelah dan tiada perbincangan yang telus sebelum membuat atau melaksanakan projek yang melibatkan tanah adat.Kesimpulan yang aku lihat, dasar-dasar kerajaan menjerat hak asasi orang asal di Sabah.

via Dasar-dasar kerajaan yang menjerat hak Orang Asal terhadap Tanah Adat | Kopivosian….

Advertisements